Tuesday 9 August 2011

Berita 9/8/11: Dada saya seperti ditekan-tekan

'Dada saya seperti ditekan-tekan 10 orang dewasa'
IPOH 8 Ogos - "Dada saya seperti ditekan-tekan oleh 10 orang dewasa, tangan kanan tidak boleh bergerak. Saya hanya bergantung kepada tangan kiri mengorek lubang sepantas yang boleh bagi mendapatkan udara."
Demikian cerita Bah Anjang Besar Alang, 39, ketika ditanya saat dia tertimbus dalam tanah selepas kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata, Cameron Highlands, semalam.
Bah Anjang merupakan salah seorang daripada dua mangsa selamat dalam kejadian yang mengorbankan tujuh orang, kebanyakannya mempunyai talian persaudaraan.
Menurutnya, kejadian berlaku sangat pantas dan tolakan tanah tersebut bukan sahaja membuatkan dia terpelanting keluar dari rumah tetapi pitam seketika.
"Saya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah manakala isteri bersama lima anak dan seorang cucu berada di bahagian dapur.
"Sebelum terpelanting, saya ada terdengar bunyi pelik dan apabila sedar, keadaan sungguh gelap. Saya hanya mampu membuka mata kiri kerana mata kanan dimasuki tanah," katanya yang kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini..
Bah Anjang berkata, dia kemudian dikeluarkan oleh penduduk selepas tertimbus lebih 10 minit dan dihantar ke HRPB.
Kejadian tersebut menyebabkan Bah Anjang mengalami patah tulang bahu dan pinggul, selain luka di muka dan badan.
Isteri bersama lima anak dan seorang cucu tidak cedera kerana berada di bahagian dapur dan sebahagiannya telah berpindah ke rumah datuk mereka yang terletak tidak jauh dari situ.

Saya belum mahu mati’IPOH: “Saya sedaya upaya cuba keluar dari ‘kubur’ (timbunan tanah runtuh) dengan mencakar dan menolak tanah menggunakan tangan kiri,” kata Bah Anjang a/l Alang, 39, seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di Cameron Highlands, dekat sini, kelmarin
Menurutnya, ketika itu dia hampir tidak bernyawa akibat kekurangan oksigen selain dibaluti seluruh tubuh dan muka dengan tanah lumpur selepas rumahnya ditimbus tanah runtuh.
“Saya kuatkan semangat walaupun ketika itu seolah-olah berada dalam kubur yang gelap. Saya belum mahu mati dan terus menggali tanpa henti,” katanya.
Menurut Bah Anjang, dia menonton televisyen di ruang tamu rumahnya sebelum dikejutkan dengan gegaran kuat dari belakang rumahnya.
“Belum sempat melihat punca bunyi itu, tiba-tiba rumah saya ditolak hingga terbalik sebelum saya terpelanting keluar.
“Dalam sekelip mata, seluruh tubuh saya ditimbus tanah basah menyebabkan saya pengsan dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Wad 4A Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Menurutnya, sebaik sedar, dia cuba bangun, tetapi tidak berdaya kerana tangan kanan tidak boleh diangkat dan dadanya ditindih batu.
“Saya menggunakan tangan kiri mengorek tanah dan mengalihkan tanah yang menutupi muka.
“Saya seperti diberikan nyawa semula apabila melihat cahaya dari lubang yang digali. Saya terus menjerit meminta tolong dan seorang rakan yang kebetulan berada di situ menarik saya keluar,” katanya Menurutnya, tragedi itu menyebabkannya patah bahu kanan dan tulang punggung selain lebam serta calar pada seluruh anggota tubuh. Bah Anjang yang bekerja di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Zaitun Balad, 30, yang berada di ruang dapur sempat menyelamatkan diri.
“Lima anak saya berusia tujuh hingga 18 tahun dan cucu berusia dua tahun tiada di rumah ketika kejadian berikutan berada di rumah nenek yang di kampung sama.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Serry Prisila a/p Saari, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, tidak jauh dari tempat kejadian, berjaya diselamatkan dalam keadaan parah.
Difahamkan, Serry Priska ditemui dengan memakai seluar panjang, manakala tuala masih terlilit di tubuhnya dipercayai mangsa baru lepas mandi ketika kejadian.
Serry Priska yang patah kaki dan berjahit pada bibir turut dirawat di HRPB, tetapi belum mampu bercakap dan masih dalam keadaan lemah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, meluangkan masa melawat kedua-dua mangsa berkenaan pada kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Dr Mah yang ditemui berkata, pihak hospital mengesahkan kedua-dua mangsa stabil.

Api lilin bakar rumah
PASIR MAS: Memilukan apabila seorang warga emas lumpuh ditemui rentung di ruang tamu selepas kediamannya musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada api lilin dinyalakan keluarganya dalam kejadian di Kampung Kubang Pak Amin, di sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika semua ahli keluarga Allahyarham Che Yam@Zahrah Semail, 73, menunaikan solat Tarawih di sebuah masjid berdekatan, menyebabkan warga emas itu gagal menyelamatkan diri.
Difahamkan, sebelum kejadian, kediaman diduduki warga emas terbabit terputus bekalan elektrik, menyebabkan ahli keluarganya memasang lilin mengelak mangsa kegelapan.
Bagaimanapun, sekembalinya menunaikan Tarawih, enam penghuni rumah tergamam sebaik dimaklumkan kebakaran menimpa warga emas yang ditinggalkan di ruang tamu.
Menantu mangsa, Mohd Zulkifli Ibrahim, 48, berkata kebakaran menimpa ibu mentuanya itu diketahui selepas dimaklumkan penduduk kampung ketika singgah ke sebuah kedai membeli rokok.
“Ketika itu seorang penduduk kampung memberitahu rumah kami terbakar. Tanpa berlengah, saya segera bergegas pulang, tetapi agak menyedihkan kerana sebahagian rumah hangus terbakar.
“Dalam keadaan panik, saya bersama penduduk kampung cuba memasuki rumah terbabit untuk menyelamatkan ibu mentua, namun hampa kerana api marak menyukarkan usaha terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam kelmarin.
Katanya, selain gagal menyelamatkan ibu mentuanya, dia juga kehilangan Perodua Kancil diparkir di halaman rumah disambar api. Menurutnya, dia segera memaklumkan kepada anggota bomba mengenai ibu mentuanya yang terperangkap di rumah berkenaan.
Katanya, mereka sekeluarga sebak melihat keadaan ibunya yang rentung di tempat tidur di ruang tamu rumah itu.
“Saya menganggap kejadian ini ujian Tuhan kepada keluarga kami, lebih-lebih lagi berlaku pada bulan Ramadan.
“Memang saya terkilan dengan kejadian ini, tetapi kami sekeluarga menganggapnya ketentuan Tuhan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen dan cadangan.... Please come again

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...